Semuanya berbeza – usia, fizikal, kecergasan, ‘world view’ dan kegemaran. Namun cinta mengikat mereka menjadi satu.
MASIH ramai yang tidak percaya bahawa Wook Kundur yang berusia 106 tahun dan Mohd Nor Musa, 37, tinggal sebumbung di Kampung Bukit Tok Bat, Kuala Berang, Hulu Terengganu, Terengganu sebagai suami dan isteri.
Barangkali ramai yang mengambil sedikit waktu untuk yakin akan hakikat bahawa perkahwinan unik pasangan itu sudah berlaku sejak tiga tahun yang lalu.
Jika dilihat pada tanggapan biasa, 'ketidakpercayaan' orang ramai dalam hal ini ada asasnya. Ini kerana jurang perbezaan usia mereka begitu jauh iaitu 69 tahun.
Bayangkan ketika Wook 'menyambut' hari lahir yang ke-69, Mohd Nor baru celik melihat dunia dan kelahirannya disambut dengan penuh kesyukuran oleh keluarganya.
Berdasarkan trend orang Melayu berkahwin awal ketika itu, Wook layaknya memanggil Mohd Nor sebagai cicit iaitu keturunan keempat dalam salasilah sesebuah keluarga.
Hal ini tentu sekali wajar kerana dalam kalangan masyarakat Melayu sebelum dan ketika awal negara mencapai kemerdekaan, usia 17 tahun sudah dianggap matang bagi seorang gadis untuk mendirikan rumah tangga.
Bagi pihak Mohd Nor pula, andainya waktu itu Wook ada di sisi, panggilan hormat yang sesuai digunakan tentulah moyang.
Walau apa pun yang berlaku, pada awal tahun 2005 ketika berusia 34 tahun, Mohd Nor menginterpretasikan jiwa besar seorang lelaki dengan mengahwini Wook yang ketika itu berusia 103 tahun.
Atas alasan mencari keredaan Allah dengan mengabdikan diri kepada wanita itu, Mohd Nor membuang jauh ke tepi segala pandangan yang tidak selari dengan niat murninya mengahwini Wook.
Beliau meneguhkan keyakinan dalam diri dan tetap percaya bahawa beliau sudah pun membuat keputusan yang terbaik di dalam hidupnya.
Sesuatu perkara yang luar biasa tetap ditanggap 'biasa' oleh kebanyakan individu walaupun perkara itu dibolehkan oleh agama, malah ada hikmah tersendiri.
Apabila kehilangan asas untuk menolak keyakinan bahawa pasangan itu sememangnya sudah berkahwin dan berhak tinggal serumah, timbul pula persoalan keserasian.
Fakta itu dijadikan alasan penolakan pihak tertentu untuk percaya kepada hakikat bahawa dua insan ini mampu berkongsi hidup.
Kepercayaan itu dihujahkan oleh fakta wujudnya kontradiksi dari segi budaya hidup atau 'world view' yang memungkinkan segala-galanya menjadi sukar.
Daripada sebesar-besar dan sejelas-jelas perkara kepada sekecil-kecil dan sesulit-sulit perkara, mereka membuat perbandingan.
Ini termasuk dalam persoalan yang dilemparkan oleh pihak tertentu tentang bagaimana Mohd Nor 'menerima layanan' Wook sebagai isteri di tempat tidur dan apakah wujud 'kepuasan' dalam hal tersebut.
Atas sebab itulah, Mohd Nor dikatakan tidak mampu bertahan lama.
Dengan kepercayaan kononnya Wook tentu melihat baki hidupnya secara sempit, tentunya Mohd Nor tidak akan terus sanggup untuk berbakti kepada wanita itu.
Dalam pertemuan eksklusif dengan Kosmo! di rumahnya baru-baru ini, lelaki berjiwa besar itu bagaimanapun tidak cepat melatah dengan pandangan negatif dan liar ke atas mereka.
Beliau yang berasal dari pedalaman Tanah Merah, Kelantan dan berkelana di situ sejak empat tahun lalu mengakui sudah 'masak' dengan situasi demikian.
Pernah katanya, mereka dikatakan sudah bercerai baru-baru ini. Malah tersebar desas-desus kononnya mereka tidak lagi tinggal serumah hampir setengah tahun lalu.
Beliau yang menafikan semua tohmahan dan khabar angin itu mengakui hakikat bahawa peritnya menghadapi kehidupan jika seseorang itu bertindak di luar kebiasaan.
"Memang semua ini luar biasa. Saya memilih semua ini. Apabila saya membuat sesuatu pilihan, saya tidak berundur lagi.
"Mungkin orang melihat saya tidak berpelajaran. Betul, saya tidak ada sijil peperiksaan yang hebat, bersekolah pun tidak tinggi.
"Kalau itulah ukurannya, memang saya tidak ada harga diri dalam masyarakat, tetapi jangan lupa bahawa kehidupan juga satu penilaian kehidupan.
"Hari-hari yang kita lalui juga adalah salah satu daripada jenis persekolahan dan kadang kala di situlah kita mampu belajar dengan lebih bijaksana," katanya.
Bertubuh sasa, mungkin kerana rutin hidupnya bekerja mengerah tenaga yang banyak, selain 'kebal' dengan pelbagai jenis cuaca, Mohd Nor percaya apa yang dilakukan ini adalah betul.
Katanya, sepanjang tiga tahun beristerikan Wook, dia mampu mengecapi nikmat hidup sama ada dari aspek jasmani mahupun rohani.
Jelasnya, Wook yang sudah pun berpengalaman mendirikan rumah tangga sebanyak 21 kali sebelum berkahwin dengannya ternyata tidak mengecewakannya.
Menurutnya, Wook mempunyai keistimewaan daripada kedua-dua aspek itu, malah pintar dan 'perkasa' menjaga tanggungjawab 'di tempat tidur'.
Lelaki budiman ini mendakwa, Wook meneruskan amalannya iaitu mengurut tubuh sendiri setiap awal pagi dan selepas solat Isyak untuk memastikan dirinya terus sihat.
Katanya, isterinya juga sering mengingatkannya agar turut mengurut tubuh sendiri dan mengamalkan petua tertentu dalam kehidupan.
"Isteri saya pantang minum minuman sejuk, sebaliknya suka minum air masak atau Milo O panas atau teh O suam walaupun pada waktu cuaca terik.
"Dia tidak suka makan nasi berlaukkan gulai yang menggunakan santan dan sekarang semua itu, saya pula amalkannya," katanya.
Sementara itu, Wook yang pada asalnya mendiamkan diri tetapi lama kelamaan menjadi peramah mengakui dia sudah 'masak' dengan asam garam kehidupan.
Katanya, pandangan serong dan cakap-cakap yang tidak enak didengar sudah pun dihadapinya sejak puluhan tahun lalu bersama suami terdahulu.
"Kalau semua cakap orang tak enak, kita ambil pusing, tak boleh buat kerja kita jadinya. Hari ini berbalah dengan orang itu, esok pula dengan orang ini.
"Sampai bila kita nak terus buang masa?," katanya yang masih mempunyai pendengaran yang jelas serta pertuturan yang baik.
Walaupun sudah lanjut usia, beliau berkebolehan menggunakan laras bahasa komunikasi terkini dan tidak terikat dengan dialek atau bahasa daerah.
MOHD NOR MUSA membantu isterinya, Wook Kundur mengenakan tudung di rumah mereka di Hulu Terengganu.
Wook yang memiliki fizikal kecil molek dan berkulit cerah turut gemar berpakaian kemas serta pandai mencetuskan suasana kecindan (kelakar).
Menceritakan rahsia urut tubuhnya, wanita umpama 'primadona desa generasi lama' itu berkata, semua itu diwarisi daripada keturunannya.
Beliau berkata, amalannya tidak menyalahi ajaran agama.
Menceritakan permulaan peristiwa hingga membawa kepada berputiknya 'cinta luar biasa' mereka, Wook berkata, Mohd Nor menyewa rumah kecilnya empat tahun yang lalu.
"Masa itu, dia datang dengan kawan, cari rumah sewa. Dia kerja buat rumah batu dan bangunan, kira ambil upah jadi buruh kasarlah.
"Kebetulannya, saya ada dua buah rumah, satu yang besar tetapi dah buruk sikit, satu lagi yang kecil tapi agak baru jugalah. Dia duduk seorang.
"Saya perhatikan Mohd Nor pemuda yang baik, rajin dan hormat orang tua. Saya ambil dia jadi anak angkat. Lepas tu, dia selalu datang tolong saya.
"Kerana kami bukan muhrim, saya takut timbul fitnah, maka saya panggil Mohd Nor, cadang untuk kahwin dengannya. Dia minta sikit masa. Saya setuju.
"Tak sampai sebulan, dia kata dia setuju. Kami pun kahwin, tapi buat majlis ringkas. Mak dan ayah Mohd Nor baik dan hormat saya.
"Mereka pun datang pada hari kami kahwin. Tak timbul soal keluarga tak setuju. Kalau ada yang cakap juga, itu jelas fitnah," katanya.
Dari sisi yang lain pula, Wook memperlihatkan sikapnya yang rasional menghadapi kemungkinan hidup bersuamikan Mohd Nor yang jauh lebih muda.
Beliau berterus-terang dengan berkata bahawa hatinya dapat menghidu bahawa ada wanita lain meminati suaminya, namun itu tidak menjejaskan rumah tangganya.
Yang menariknya, Wook menyatakan kesediaannya bermadu jika suaminya mahu berkahwin lain, malah sanggup meminang wanita tersebut.
Katanya, dia sedia berusaha mengumpul wang hantaran perkahwinan itu nanti, namun meminta perkara itu tidak dirahsiakan daripadanya.
"Jangan buat macam pasangan muda. Kahwin sekejap, cerai. Ada masalah sikit, cerai. Jumpa orang lain, cerai. Itu tak baik. Saya tak nak macam itu.
"Kalau boleh, saya nak masyarakat kita menghargai ikatan suami isteri. Hubungan ini amanah Allah. Jangan khianat, berdosa nanti," katanya.
SELESA dan selamat berada di dalam dakapan suami tercinta.
Dalam pada itu, Wook tidak menolak hakikat bahawa ada ketikanya dia merajuk dan menimbulkan sedikit masalah kepada suaminya.
Namun, katanya, itu perkara biasa dalam melayari bahtera rumah tangga.
Justeru itu, Wook akan memastikan rumah tangganya kekal dan sentiasa percaya Allah mengasihi serta mendengar doa ikhlasnya.
Katanya, dalam konteks cinta kepada makhluk, cintanya kepada Mohd Nor bukanlah cinta biasa dan dia percaya Mohd Nor turut menyedari hakikat tersebut.
Letoltes Arsne Lupin, Gentleman Burglar By Maurice Leblanc George Morehead
Pdf Ebook
-
Letoltes Arsne Lupin, Gentleman Burglar By Maurice Leblanc George Morehead
Pdf Ebook
Genre : Short Stories ,Books ,Crime & Thrillers
“The Extraordinary Adv...
3 years ago
2 comments:
hehehe.. cerita tok la yg sidak Kak Lai ngan Usu cerita masa beraya ke Bekenu marek.. Along blur sik tauk cerita.. now i know ;)
hem...cta kat kosmo..aku pun tkejut juak...ada ku cita dgan mak..hehhehe....
Post a Comment