|
|
BINTULU 19 Okt. – Dua lagi mayat penumpang bot ekspres yang terbabit dalam perlanggaran dengan sebuah kapal tunda di hulu Sungai Anap, Tatau dekat sini semalam ditemui hari ini, menjadikan jumlah kematian kini meningkat kepada enam orang.
Ketika ini, usaha mencari dan menyelamat lima lagi mangsa yang masih hilang sudah dihentikan pukul 7 petang ini dan akan disambung semula pagi esok.
Hari ini, mayat dua mangsa iaitu Bermas Myiun, 26, dari rumah panjang Ringkai, Tatau dan Lily Manggie, 38, dari rumah panjang Pandong, Kakus ditemui terapung tidak jauh dari lokasi perlanggaran pukul 1.30 petang dan 2.20 petang.
Semalam, empat mayat penumpang yang ditemui ialah Jennifer Yak, 10 bulan; Mias Renggan, 75, dari Nanga Belunggai, Kakus; Wilfred Ukir Salleh, 56, dari rumah panjang Sudan, Sungai Naman Sibu; dan Wong Siew Guan, 29, dari Sungai Durin, Sibu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohmad Salleh berkata, dua mayat ditemui petang ini selepas empat mangsa termasuk seorang bayi 10 bulan ditemui malam tadi.
Katanya, sejurus kejadian itu, pihaknya menahan seorang pemandu bot berusia 58 tahun dan bertindak mereman lelaki yang berasal dari Sibu itu bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
“Buat masa ini, kita percaya kemalangan ini berpunca daripada kecuaian manusia dan tidak menolak kemungkinan untuk mengenakan hukuman mengikut Kanun Keseksaan ke atas pemandu bot terbabit.
“Kita juga mungkin akan mengambil tindakan terhadap pemandu kapal tunda terbabit sekiranya dia turut didapati cuai sehingga menyebabkan berlaku kemalangan ini,” katanya kepada pemberita di Kem Kelebu di sini hari ini.
Dalam nahas yang berlaku pukul 2.30 petang semalam, empat penumpang dilaporkan maut manakala sembilan lagi hilang apabila sebuah bot ekspres yang mereka naiki terbalik dan karam selepas terlanggar kapal tunda membawa balak.
Dianggarkan kira-kira 30 penumpang berada di dalam bot ekspres berkenaan yang sedang menghala ke Kakus dari Tatau.
Dalam kejadian itu, seramai 17 penumpang terselamat hasil bantuan segera pihak berkuasa yang menjalankan kerja mencari dan menyelamat bersama pekerja pembalakan di Kem Kelebu, tidak jauh dari tempat nahas itu berlaku sejurus selepas kejadian.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa membabitkan polis, bomba dan penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Pasukan Gerakan Marin serta penduduk kampung membabitkan tujuh penyelam dan penggunaan tujuh buah bot.
Mohmad memberitahu, lima mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Peter, 28, dan anaknya Amilia, 3, seorang penumpang lelaki yang hanya dikenali sebagai Empum, Lenny Ibin, 9, serta Alicia Emelda Sumping, 5.
Beliau berkata, kesemua mayat dibawa ke Hospital Bintulu untuk bedah siasat dan ada yang telah dituntut oleh keluarga masing-masing.
“Sehubungan itu, polis meminta sekiranya ada penduduk yang kehilangan ahli keluarga supaya segera memaklumkan kejadian itu kepada polis kerana kita tidak dapat memastikan jumlah sebenar penumpang yang berada di dalam bot berkenaan,” katanya.
##################################################
Mangsa terpaksa bernafas di ruang tingkap bot
|
|
BINTULU 19 Okt. – Seorang daripada mangsa tragedi bot ekspres menceritakan detik cemas dia terpaksa bernafas dari ruang tingkap bot ketika kenderaan pengangkutan itu hampir tenggelam.
Elizabeth Diran, 28, berkata, dia terpaksa berbuat demikian kerana air masuk ke dalam bot begitu cepat, sehingga menyukarkan dia untuk menyelamatkan diri.
Meskipun seorang anaknya, Alicia Emelda Sumping, 5, masih hilang, Elizabeth sempat memeluk seorang lagi anaknya berusia 2 tahun, Agnes sebelum mereka dua beranak diselamatkan oleh seorang wanita yang tidak dikenali.
“Selepas perlanggaran itu, air masuk ke dalam bot begitu pantas, saya tidak tahu apa yang harus dilakukan namun sempat memeluk anak saya (Agnes).
“Ketika bot itu hampir tenggelam, saya terpaksa bernafas dari ruang tingkap bot ekspres yang hanya tinggal lima sentimeter belum dinaiki air sebelum saya ditarik oleh seorang wanita,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Elizabeth merupakan salah seorang daripada 17 yang terselamat dalam tragedi bot ekspres terbalik dan karam selepas merempuh sebuah kapal tunda di hulu Sungai Anap, Tatau dekat sini petang semalam.
Menceritakan kejadian itu, dia berkata, pada mulanya dia terdengar bunyi dentuman kuat yang mengakibatkan bot terbalik sebelum secara tiba-tiba air deras memasuki ruang di dalam bot ekspres itu.
Panik melihat kejadian itu, Elizabeth terus menarik anaknya, Agnes yang kebetulan tidur di sebelah tempat duduknya keluar menerusi ruang jendela di belakang bot.
sumber:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?sec=Sabah_%26_Sarawak
0 comments:
Post a Comment